
Lapang benar dada Pak Uwei bila pegawai yang bertugas di kaunter
Pejabat Tabung Haji itu memberitahu nama dia Dan isterinya turut
tersenarai dalam senarai jemaah yang akan menunaikan ibadah fardhu haji
pada tahun ini.
“Tapi Pak cik kena bayar segera bahagian mak cik yang masih tak
cukup tiga ribu ringgit lagi tu. Selewat-lewatnya minggu depan bayaran
mesti dibuat,” beritahu pegawai itu lagi. “Insya’Allah encik. Saya akan
bayar seberapa segera,” janji Pak Uwei. Berita gembira itu ingin segera
dikongsi bersama isteri kesayangannya. Sebaik keluar dari pejabat
Tabung Haji, dia terus balik ke rumah.
“Pah….. Ooo….. Pah!” teriak Pak Uwei sebaik turun dari keretanya.
“Apa bendanya terlolong-lolong ni bang?” tanya Mak Pah.
“Ada berita baik ni Pah, nampaknya hajat Kita nak ke Mekah tahun ni akan tertunai. Insya’Allah, dua bulan lagi Kita akan ke sana. Tak sabar
betul saya, rasa macam Kaabah tu dah melambai-lambai,” Cerita Pak Uwei dengan wajah berseri-Seri.
“Betul ke ni bang? Baru semalam si Johari beritahu dia dengan Minah tak dapat pergi. Namanya tidak ada dalam senarai.”
“Betullah Pah oii…….. Saya in baru je balik dari Pejabat Tabung
Haji. Cuma duit bahagian awak tu kena bayar segera selewat-lewatnya
minggu depan.”
“Mana Kita nak cari duit banyak tu bang? Tiga ribu tu bukan sikit,
itupun lepas duit tambang. Duit kocek mau juga sekurang-kurangnya dalam
seribu.” Mak Pah merenung gusar wajah suaminya.
“Alah Pah, Kita mintalah tolong dengan Muaz Dan Balkis. Takkanlah
mereka tak nak beri. Bukannya banyak, cuma dua ribu seorang saja.”
Wajah Pak Uwei semakin berseri-Seri. Dia yakin anak-anaknya yang dua orang itu tidak akan menghampakan harapannya.
“Lusa hari minggu, saya nak suruh budak-budak tu balik, boleh kita berunding,” cadang Pak Uwei.
“Kalau tak cukup bahagian saya tu, awak ajelah yang pergi dulu. Tak
elok kita menyusahkan anak-anak bang, lagipun apa pula kata menantu kita nanti, nak ke Mekah minta duit anak-anak.” Mak Pah tidak bersetuju
dengan rancangan Pak Uwei.
“Pah…. Muaz dan Balkis tu kan anak-anak Kita. Kita dah besarkan
mereka, hantar belajar tinggi-tinggi takkan nak hulur dua ribu pun tak
boleh, lagipun selama ni Kita tak pernah minta duit mereka. Tak usahlah
awak bimbang Pah, saya yakin anak-anak kita tu tak akan menghampakan
Kita kali ni.” Yakin benar Pak Uwei, harapan yang menggunung
digantungkan kepada anaknya.
“Tapi bang………..”
“Dahlah…… pegi siapkan kerja awak tu, tak usah nak risau tak tentu hala. Saya nak telefon budak-budak tu,”
Pintas Pak Uwei sebelum Mak Pah melahirkan kebimbangannya. Lega hati
Pak Uwei bila Muaz menyatakan yang dia akan pulang, kemudian Pak Uwei
menelefon Balkis pula di pejabatnya. Dia hanya menyuruh mereka balik
tanpa memberitahu hajatnya.
“Insya’Allah, Kis balik nanti Abah. Ermm! Abah nak Kis suruh Intan balik sama?” tanya Balkis.
“Ikut suka kaulah, bagi Abah yang pentingnya kau dan Muaz. Intan tu ada ke tidak ke, sama aje. Balik ya….,” balas Pak Uwei.
Bukan dia membeza-bezakan anak-anaknya, tapi hati tuanya cepat benar
panas bila berhadapan denga Intan. Sikap degil Dan tak mahu mendengar
kata anaknya itu menyebabkan dia geram. Sudahlah malas belajar, tidak
seperti Muaz dan Balkis yang berjaya memiliki ijazah. Kalau ditegur
sepatah, sepuluh patah tidak menjawab. Masih Pak Uwei ingat gara-gara
sikap keras kepala Intan untuk bekerja kilang, mereka bertengkar besar
tiga tahun lalu. Kini hubungan mereka seperti orang asing.
“Abah tak setuju kau nak kerja kilang kat KL tu. Abah mahu kau
sambung belajar lagi.” Pak Uwei tidak bersetuju dengan niat Intan yang
hendak bekerja kilang.
“Intan dah tak minat nak belajar lagi abah, biarlah Intan kerja
kilang. Kerja kilang pun bukannya haram.” Bantah Intan menaikkan darah
Pak Uwei.
“Aku suruh kau belajar kau tak nak, kau nak kerja kilang. Kau tak
tengok berapa ramai anak gadis yang rosak akhlak kerja kilang duk kat
KL jauh dari mak bapak, bolehlah buat apa yang kau sukakan. Kau nak
bebas macam tu?”
“Itulah Abah, selalu nampak yang buruk aje. Bukan semua yang kerja
kilang duk kat KL tu jahat Abah. Kerja apa Dan kat mana pun sama aje,
pokok pangkalnya hati. Kalau nak buat jahat dalam rumah pun boleh
Abah.” Intan cuba membuat Abahnya faham.
“Kenapalah kau seorang in lain benar dari abang Dan kakak kau. Cuba
kau tengok Balkis tu, tak pernah dia membantah cakap macam kau in!”
“Intan memang tak sama dengan Kak Balkis, Abah. Intan suka
berterus-terang, kalau tak kena Intan cakap depan-depan, bukan membebel
kat belakang,” balas Intan selamba menyemarakkan bara dalam dada
Abahnya.
“Anak tak mendengar kata, ikut suka kaulah. Kalau kau nak pergi,
pergi….. Aku dah tak larat nak larang. Nak terlentang ke, telangkup ke,
gasak kaulah.”
“Kau buat apa yang kau suka, aku tak nak ambil tahu lagi!” Sejak
kejadian itu, Pak Uwei memang tidak mempedulikan langsung apa yang
Intan nak buat. Namun begitu, Intan tetap pulang setiap kali cuti. Dia
bersikap selamba biarpun abahnya tidak mempedulikannya. Intan selalu menghulur duit, tapi hanya kepada maknya sahaja.
Riang hati Pak Uwei bukan kepalang bila anak-anaknya pulang, tambahan pula dia sudah rindu dengan cucu-cucunya. Malam itu, selesai menikmati makan malam dan berjemaah sembahyang Isyak, mereka duduk berborak di ruang tamu.
“Sebenarnya ayah suruh kau orang balik ni ada hajat sikit,” Pak Uwei memulakan bicara.
“Hajat apa pula Abah?” tanya Muaz yang duduk di sebelahnya.
“Abah dan Mak kau nak ke Mekah, nama dah ada dalam senarai.
Memandangkan bahagian Mak kau masih belum cukup lagi, abah nak minta
kau dan Balkis bantu sikit. Tak banyak, dua ribu seorang cukuplah,” Pak
Uwei mengutarakan hasratnya.
“Boleh tu boleh Abah, tapi kena tunggu sebulan dua lagi. Az baru je
keluarkan wang simpanan buat duit muka beli rumah. Sebulan dua lagi
bolehlah Az ikhtiarkan,” ujar Muaz.
“Tapi…… Pegawai Tabung Haji tu minta bayaran dibuat segera selewat-lewatnya minggu depan.”
“Kalau dalam seminggu dua ni Abah, memang rasanya tak dapat. Paling
tidak pun cukup bulan ni. Nak cukupkan duit muka tu pun habis duit
simpanan budak-budak ni Az keluarkan,” jawab Muaz serba salah.
“Kau beli rumah lagi, rumah yang ada tu kau nak buat apa?” tanya Pak Uwei melindungi kekecewaannya.
“Rumah baru tu besar sikit Abah. Selesalah buat kami sebab
budak-budak tu pun dah besar, masing-masing nak bilik sendiri. Lagipun
beli rumah tak rugi Abah, pelaburan masa depan juga,” sampuk Mira
isteri Muaz.
Pak Uwei terdiam, harapannya kini cuma pada Balkis. “Kamu macam mana
Kis, boleh tolong Abah? Nanti Abah bayarlah balik duit kamu tu bila ada
rezeki berbuah durian kat dusun kita tu nanti,” Pak Uwei berpaling pada
Balkis.
“Kis pun rasanya tak dapat nak tolong Abah. Kis baru aje keluarkan
duit simpanan buat menambah modal perniagaan Abang Man. Tengah gawat ni
faham ajelah…… ni tak lama lagi nak bersalin nak pakai duit lagi.”
Hancur berderai rasa hati Pak Uwei mendengar jawapan Balkis.
“Man bukan tak nak tolong Abah. Kalau nak pinjam duit kad kredit
boleh. Tapi yelah, kata orang kalau nak ke Mekah ni tak elok pakai duit
pinjaman.”
“Betul kata Man tu Abah. Kalau nak ke Mekah mesti dengan kemampuan
sendiri baru elok,” sokong Muaz. Kata-kata Azman dan Muaz bagaikan
sembilu yang menikam dada Pak Uwei. Bila dia bertemu pandang dengan
Intan, Pak Uwei terasa bagai ditertawakan oleh Intan bila kedua anak
yang diharap-harapkan menghampakannya.
“Tak apalah kalau kau orang tak ada duit. Biarlah Abah kau pergi
seorang dulu, nanti kalau ada rezeki, Mak pula pergi,” Mak Pah bersuara
cuba meredakan keadaan.
“Kalau nak pergi sendiri dah lama saya pergi Pah. Tak payah saya
tunggu lama-lama. Kalau Awak tak pergi, biarlah kita sama-sama tak
pergi….. dah tak ada rezeki kita nak buat macam mana?” Pak Uwei bangun
masuk ke bilik meninggalkan anak-anaknya dengan rasa kesal.
Intan tahu Abahnya benar-benar kecewa. Walaupun orang tua itu tidak
menunjukkan rasa kecewanya, tapi Intan faham kecewa Abahnya teramat
sangat kerana tidak menduga anak-anak yang selama ini disanjung akan
mengecewakannya begitu.
“Anak awak tu tak balik ke?” tanya Pak Uwei pada Mak Pah bila Intan tidak turut serta balik bersama dengan abang dan kakaknya.
“Tak, katanya cuti sampai hari Rabu nanti,” balas Mak Pah sambil mencapai kain selendangnya.
“Nak ke mana pulak tu?” tanya Pak Uwei melihat Mak Pah bersiap-siap.
“Nak ke kedai Long Semah tu nak belikan anak saya kuih lepat ubi
kegemarannya.” Sengaja Mak Pah menekan suara bila menyebutnya anaknya.
Bukan sekali dua dia menegur sikap Pak Uwei yang gemar membeza-bezakan
anak. Pagi Isnin itu selepas bersarapan, Intan bersiap-siap hendak
keluar.
“Nak ke mana Intan pagi-pagi dah bersiap ni?”
“Intan ada hal sikit kat bandar mak. Intan pergi dulu ye.”
“Kalau nak ke bandar suruhlah Abah kau tu hantarkan,” suruh Mak Pah.
“Tak payah mak, Intan nak pergi banyak tempat ni. Nanti bising pula
Abah tu. Intan pergi dulu.” Mak Pah menggeleng memerhatikan Intan
berlalu. Kadangkala sedih hatinya melihat sikap suaminya yang keras
hati membuat anaknya itu menyisihkan diri.
Ketika Intan pulang dari bandar tengah hari itu, mak dan abahnya sedang menikmati juadah tengah hari.
“Kau ni tan, buat benda apa lama benar kat bandar tu? Mari makan
sama. Ni Abah kau ada beli ikan baung salai, mak masak lemak cili api.”
“Ingat lagi Abah lauk kegemaran Intan rupanya,” usik Intan tak bertangguh mencapai pinggan.
“Mak Bapak memang tak pernah lupakan anak-anak, cuma anak-anak aje
yang lupakan mak bapak,” jawap Pak Uwei sinis. Intan tersenyum pahit.
Selesai mengemas pinggan mangkuk, Intan menunaikan solat Zohor,
kemudian dia mendapatkan mak dan abahnya yang sedang duduk di ruang
tamu. Abahnya sedan membaca suratkhabar. Mak Pah pula melipat kain.
“Mak, Abah….. Intan ada hal sikit nak cakap ni….,” ujar Intan
menghampiri mereka. Pak Uwei menurunkan suratkhabar yang dipegangnya.,
kemudian menanggalkan cermin mata yang digunakan untuk membaca.
“Apa hal….. kamu nak kahwin ke?” soal Pak Uwei merenung Intan. Tawa
Intan meledak tiba-tiba mendengar soalan abahnya. Melihat Intan
tergelak besar, Pak Uwei turut tertawa. Mak Pah pun tergelak sama,
riang rasa hatinya melihat kemesraan yang hilang dulu mula menyatu.
“Abah ni…… ke situ pulak….”
“Habis tu?”
“Ini….. kad Tabung Haji Mak. Tadi Intan ambil dalam laci tu. Yang
ini resit memasukkan duit ke akaun Mak. Semuanya Intan dah uruskan. Dan
ini dua ribu untuk buat duit kocek Mak dan Abah. Yang dua ratus lagi ni
untuk buat kenduri doa selamat sebelum berangkat nanti.” Intan
memasukkan duit itu dalam genggaman Pak Uwei.
“Apa???” Pak Uwei terkejut. Matanya merenung Intan dan duit ditangannya bagai tidak percaya.
“Ini duit simpanan Intan sejak mula bekerja dulu. Duit hasil titik
peluh Intan yang halal Abah, terimalah. Selama ini Intan banyak kali
kecewakan Abah. Intan tak pernah dapat membahagiakan hati Abah. Selama
ini pun Intan selalu sangat rasa kalah pada Abang Az dan Kak Balkis.
Intan tak cantik dan baik macam Kak Balkis, apatah lagi bijak seperti
mereka. Intan tahu Abah selalu kecewa dengan Intan. Hanya kali ini
Intan dapat tunaikan hasrat Abah.”
“Dah banyak kali Abah tangguhkan hasrat nak naik haji. Dulu kerana
Kak Balkis nak kahwin, lepas tu mak pulak tak sihat. Sekarang ni masa
yang sesuai. Intan harap Abah sudi terima pemberian Intan,” tutur Intan
perlahan memerhatikan air mata menuruni pipi abahnya yang sudah
berkedut dimamah usia.
“Terima kasih Intan. Malu rasanya Abah nak ambil duit kamu…… dulu
Abah selalu bangga dengan Balkis dan Muaz yang memegang jawatan tinggi,
tapi akhirnya anak Abah yang kerja kilang yang membantu Abah,” luah Pak
Uwei sambil mengesat air mata terharu atas keluhuran hati anak yang
selama ini dimusuhinya.
“Sudahlah Abah. Yang lepas itu tak usahlah kita ungkit-ungkit lagi. Intan gembira Abah sudi terima pemberian Intan.”
“Pemberian kau ni terlalu terlerai bagi Abah dan Mak kau Intan….,” ujar Pak Uwei. Intan peluk abahnya erat.
“Hah……tulah, jangan suka memperkecil-kecilkan anak saya ni,” Mak Pah
mengusik Pak Uwei sambil mengesat air mata penuh kesyukuran.
“Mak ni…..,” gelak Intan memandang abahnya yang tersengih. Masa yang
ditunggu-tunggu tiba dalam keriuhan sanak saudara yang datang
menziarahi Pak Uwei dan Mak Pah. Intan memerhati dengan perasaan
gembira bercampur hiba.
“Semua dah siap ke Mak?” tanya Intan menjenguk ke bilik emaknya memerhatikan Mak Pah mengisi barang keperluan semasa di Mekah.
“Dah rasanya…… ada apa-apa yang Intan nak pesan Mak belikan di sana nanti?”
“Tak ada mak. Mak janganlah fikir soal apa yang nak dibeli Mak. Yang penting Mak dapat menunaikan ibadah dengan sempurna.”
“Hah! Awak dengar tu…. Kita ni nak pergi menunaikan ibadah, bukan
nak membeli-belah,” tambah Pak Uwei yang turut mendengar perbualan dua
beranak itu.
“Intan tak nak Mak dan Abah belikan satu apa pun dari sana. Hanya
satu yang Intan mahu, doakan Intan bahagia di dunia dan akhirat,” pesan
Intan sambil memeluk emaknya. Mak Pah dan Pak Uwei berpandangan.
Tiba-tiba sebak dengan permintaan Intan itu.
Hanya dua jam lagi kapal terbang akan mendarat di tanah air. Pak
Uwei mengerling Mak Pah yang lena di sebelahnya. Dalam keriangan telah
menunaikan ibadah haji tanpa sebarang kesulitan, terselit rasa tidak
sedap di hati. Perasaan rindu pada anak-anak terutamanya Intan bagai
menyentap tangkai hatinya. Pak Uwei terkenangkan mimpinya bertemu Intan
di Tanah Suci. Intan tidak berkata sepatah pun, tapi bagai memberitahu
yang dia akan pergi jauh.
“Kenapa resah aje ni Bang?” Mak Pah terjaga.
“Entahlah Pah, saya teringat sangat dengan Intan dan anak-anak kita.”
“Sabarlah, dah nak sampai dah ni,” pujuk Mak Pah. Dari jauh lagi Pak Uwei sudah melihat Muaz dan Azman menanti mereka.
“Mak….. Abah…..,” Muaz meraih emaknya dalam pelukan dan kemudian abahnya tanpa dapat menahan air mata menitis laju.
“Mana yang lain ni, kamu berdua aje?” Pak Uwei tertinjau-tinjau mencari wajah Intan.
“Mereka menanti di rumah, Abah,” beritahu Azman suami Balkis sambil mencium tangan Pak Uwei.
“Intan pun tak datang juga ke?” tanya Pak Uwei terasa hampa.
“Awak ni….. kan Man dah kata mereka menunggu di rumah.” Mak Pah
menggeleng, dua tiga hari ni nama Intan tak terlepas dari mulut
suaminya. Perjalanan tiga jam dari KLIA untuk sampai ke rumah terasa
begitu lama oleh Pak Uwei. Mak Pah yang melihat kegelisahan suaminya
turut berasa bagai ada yang tak kena.
“Dua tiga malam sebelum balik, Abah kau mengigau terjerit-jerit dia
panggil nama Intan. Kalau Intan dengar cerita ni tentu dia gelihati.”
cerita Mak Pah pada Muaz dan Azman. Muaz mengerling Azman yang sedang
memandu.
“Tentulah Abah ingatkan Intan, sebab Intan yang bagi dia duit,” balas Muaz cuba bergurau walaupun terasa sayu.
“Tapi Abah rasa macam ada yang tak kena aje Az, dalam mimpi Abah tu,
Abah nampak Intan macam nak beritahu dia nak pergi jauh. Tapi dia tak
bercakap pun, hanya renung Abah. Intan tak ada cakap apa-apa dengan kau
Az?”
“Err….. tak ada Abah. Kita berhenti minum dulu Abah, tentu Mak haus,” ajak Azman.
“Tak payah, dah dekat ni. Abah tak sabar nak balik,” tolak Pak Uwei.
Azman dan Muaz hanya berpandangan. Sebaik turun dari kereta, Balkis
meluru memeluk mereka dengan tangisan. Suara Pak Long Basri yang
bertakbir menambah sayu. Semua yang ada menitiskan air mata.
“Mak dengan Abah sihat ke?” tanya Mira setelah bersalaman dengan ibubapa mentuanya.
“Sihat, cuma batuk-batuk aje sikit. Intan mana, dia tak balik ke?” Mak Pah mula berdebar bila Intan tidak kelihatan.
“Naik dulu Ngahnya…….,” suruh Long Semah.
“Intan mana?” Pak Uwei mula hilang sabar bila tak seorang pun
memberitahu di mana Intan. Pantas dia memanjat tangga menuju ke bilik
Intan. Matanya terpaku pada bekas baru yang terletak di sebelah katil
yang bercadar kain batik lepas. Dadanya bergetar.
“Az….. mana Intan? Mana adik kau Az?” tanya Pak Uwei dengan suara
yang menggeletar. Badannya terasa lemah, dia berpaut pada tepi pintu.
“Sabar Abah….,” Muaz menggosok belakang abahnya.
“Kenapa Az…….. kenapa?” Mak Pah menurunkan Syazwan, cucunya dari pangkuan dan melangkah laju ke bilik Intan.
“Mak…. Intan dah tak ada Mak,” Balkis tersedu memeluk emaknya yang
terduduk lemah. Pak Uwei terkulai tak bermaya menerima berita itu. Mak
Pah terus pengsan. Bila dia terjaga dia melihat anak menantu
menglilinginya. Pak Uwei duduk di tepi kepalanya.
“Sabarlah Ngah, ini dugaan Allah pada kita. Intan pergi pun dalam
keadaan tenang. Barangkali kerana hajatnya nak lihat kamu naik haji dah
tertunai,” pujuk Long Semah yang masih belum pulang.
“Intan ada tinggalkan surat untuk kita. Dia memang dah tahu dia tak
akan hidup lama. Rupa-rupanya dia menghidap barah otak. Dia minta maaf
segala salah silap dan berpesan supaya kita jangan sedih atas
pemergiannya. Dia minta kita doakan dia,” Pak Uwei menepuk lembut bahu
Mak Pah yang tersedu.
“Bila dia meninggal? Siapa yang mengadap masa nazaknya?” tanya Mak Pah.
“Kami semua ada Mak. Dia begitu tabah menanti detik kematiannya Mak.
Sebenarnya dia ajak kami balik ini, katanya nak kemaskan rumah. Mak dan
Abah nak balik. Masa sampai tu dia sihat lagi, tiba-tiba malam Khamis
tu lepas solat Isyak dia sakit kepala teruk sampai tak boleh bangun. Az
nak hantar ke hospital, tapi katanya masa dia dah tiba. Masa tulah baru
dia ceritakan sakitnya. Dia meninggal Subuh hari Jumaat Mak…….. tiga
hari lepas. Dia pergi dalam keadaan yang cukup tenang mak,” cerita
Muaz. Mak Pah menggenggam erat tangan suaminya, terkenangkan bagaimana
Intan memeluk erat mereka sebelum melepaskan pemergian mereka.
Dan ketika itu bagai terdengar-dengar suara Intan berpesan, “Intan
tak nak Mak dan Abah belikan satu apa pun dari sana. Hanya satu yang
Intan mahu, Mak dan Abah doakan Intan bahagia di dunia dan akhirat…..”
“Islam pada mulanya terasing, dan ia akan kembali terasing, maka berbahagialah kiranya bagi yang terasing”
0 comments:
Post a Comment